Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Jul 18, 2009

Pakatan mahu Suruhanjaya Diraja ditubuh siasat kematian Teoh

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
Pakatan Rakyat mahu satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock, yang dipercayai terjatuh dari Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Selain menyiasat secara mendalam insiden kelmarin, suruhanjaya itu juga disyor meneliti teknik dan kaedah digunakan oleh SPRM untuk menjalankan soal siasat.

"Kita tegaskan SPRM baru beroperasi enam bulan tetapi menjadi alat kepada Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat dalam tindakan merampas kerajaan negeri Selangor.

"Kita desak supaya peranan SPRM kembali profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan kepada puluhan laporan yang dibuat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa," kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saranan sedemikian juga diberikan pagi semalam selepas pemimpin-pemimpin Pakatan mengadakan pertemuan dengaan SPRM Selangor.

Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mayat Teoh ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, dipercayai akibat terjatuh dari bangunan itu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari kelmarin.

Rabu lalu Teoh memberi keterangan di SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan dana rakyat di Selangor.

Anwar berkata, pemimpin Pakatan akan ke Melaka Isnin ini untuk menghadiri upacara pengebumian Teoh pada pukul 10 pagi.

Selain itu, pihaknya juga akan memberi penjelasan di negeri-negeri mengenai kematian Teoh, tahanan tanpa bicara dan tindakan pihak berkuasa yang didakwa beliau bersifat ganas.

Sementara itu, Anwar berkata, Pakatan akan terus memperkukuh parti itu dengan memperkemas jentera pentadbirannya supaya lebih berkesan.

"Kita akan memperkemas panel Ahli Parlimen yang berperanan mengkaji kementerian-kementerian dan memperkukuh sekretariat Pakatan dengan tiga wakil dari setiap parti bagi mengendalikan sekretariat di peringkat pusat.

"Kita juga akan pastikan jawatankuasa panel akan menentukan dasar parti yang perlu diulas bersama oleh pimpinan Pakatan.

"Selain itu, jawatankuasa pilihan raya ketiga-tiga parti akan mengadakan pertemuan bagi berbincang strategi yang diperlukan," katanya.

Katanya, satu seminar khusus akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi pengukuhan Pakatan yang akan dihadiri oleh 30 wakil dari setiap parti.

Selain itu kata Anwar, pemimpin-pemimpin Pakatan akan menyertai satu perhimpunan bagi menggesa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos ini di ibu negara.

Berhubung kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dengan majoriti tipis, Anwar berkata, beliau tetap mengucapkan tahniah kepada PAS atas kemenangan itu kerana bukan sesuatu yang mudah untuk memenangi pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dipetik Bernama berkata, PAS mahu satu sidang khas Parlimen diadakan segera untuk membincangkan integriti SPRM, di samping menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian Teoh.

"PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas kematian Teoh," katanya dalam kenyataan.

Mahfuz berkata, PAS turut menuntut penggantungan tugas Ketua Pengarah SPRM, Pengarah Siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas menjalankan soal siasat ke atas Teoh, sepanjang penyiasatan kes kematian mendiang.
Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...