
"Berdasarkan maklumat awal, dua orang masing-masing lelaki dan perempuan meninggal dunia dipercayai di tempat kejadian manakala empat lagi masih tidak sedarkan diri di Hospital Besar Neeqat, Madinah. Tiga belas lagi ahli rombongan hanya cedera ringan, sudah dibenarkan keluar.
"Semua yang dibenarkan keluar itu, kini sudah pulang ke hotel mereka iaitu Hotel Jawharat Fairus di Madinah," katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika bas dalam perjalanan ke Madinah dari Jeddah.
"Kemalangan berlaku kira-kira 40 kilometer dari Madinah. Bagaimana dan punca kemalangan itu berlaku, kami (Wisma Putra) masih belum menerima laporan lengkap kerana pihak berkuasa di sana masih menyiasat," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim ketika dihubungi, berkata pihaknya akan memaklumkan laporan penuh esok apabila menerima laporan lengkap dari Kedutaan Malaysia di Jeddah.