Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didapati bersalah membunuh wanita muda Mongolia itu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
altantuya trial 160707 azilahSebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.
Bagaimanapun pada 31 Oktober lalu, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.
Azilah, 33, dan Sirul, 37, telah dipanggil membela diri pada 31 Oktober tahun lalu.
Azilah memberi keterangan membela dirinya sendiri di kandang saksi, manakala Sirul Azhar membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.
Selepas penghakiman dibuat, peguam kedua-dua tertuduh menyalahkan satu sama lain berhubung keputusan mahkamah itu.
Mereka mendakwa, kegagalan memanggil saksi-saksi lain telah menjejaskan kes pihak pembela untuk menyokong alibi Azilah dan Sirul.
Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya berkata, sabitan ke atas kedua-dua tertuduh itu tidak dapat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, masih banyak persoalan yang belum terjawab berhubung motif pembunuhan wanita Mongolia itu.
Menurutnya, satu lagi persoalan yang belum terjawab ialah sama ada kedua-dua tertuduh itu melakukannya atas kehendak sendiri atau diarahkan berbuat demikian oleh orang lain.
"Pastinya Dr Shaariibuu Setev (bapa Altantuya) tidak akan puas hati kerana beliau merasakan terdapat orang lain lagi yang turut terbabit tetapi terlepas daripada hukuman," katanya.
Manakala ketua pihak pendakwaan kes tersebut Tun Majid Tun Hamzah berkata pihaknya berpuas hati dan telah membuktikan bahawa tiada orang lain terbabit dalam kes pembunuhan itu.
Peguam Sirul - Hasnal Rezua Merican - berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Penghakiman
Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam penghakimannya hari ini, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pembelaan Azilah bergantung kepada keterangan yang dia tidak berada di tempat kejadian semasa jenayah itu dilakukan dan dia juga tidak membuat kenyataan berhubung tempat kejadian yang diterima oleh mahkamah.
"Dia mendakwa berada di Wangsa Maju dan dia bukannya orang terakhir berada bersama Altantuya kerana dia menyerahkan Altantuya pada malam itu kepada tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk dihantar pulang ke Hotel Malaya," katanya.
Mengenai Sirul Azhar, Hakim Mohd Zaki berkata pembelaan tertuduh kedua itu bergantung kepada keterangan bahawa dia adalah "kambing korban", dia tidak
membuat kenyataan berhubung barangan peribadi milik Altantuya, dia tidak berada di tempat kejadian sebaliknya berada di Sri Hartamas dan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan Altantuya tidak diserahkan kepadanya oleh Azilah untuk dibawa ke Hotel Malaya.
Pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid manakala peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar mewakili Azilah dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican serta Ahmad Zaidi Zainal mewakili Sirul Azhar.
Ketika hukuman dijatuhkan, Azilah dan Sirul Azhar kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang emosi.
Di luar mahkamah, tunang Azilah, Nur Azila Baharuddin berkata keluarga Azilah di Sarawak telah diberitahu mengenai keputusan mahkamah itu dan mereka amat sedih kerana mengharapkan dia akan dibebaskan.
Nur Azila berkata beliau tetap berharap Azilah akan dibebaskan apabila rayuan terhadap keputusan hari ini dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutan.
Ditanya mengenai rancangan masa depan mereka berdua, Nur Azilah berkata: "Tak ada rancangan lagi tapi memanglah nak kahwin sebab dah lama tunggu, kita berkenalan sejak 2004 dan bertunang pada 2006."
Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi yang turut ditemui pemberita, berkata beliau telah menghubungi bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu, untuk memaklumkan mengenai keputusan itu pada pukul 9.30 pagi tadi.
Beliau berkata Shaariibuu, berasa lega dan berpuas hati dengan keputusan hari ini serta ingin mengetahui perkembangan selanjutnya mengenai tindakan yang akan diambil oleh pihak pembelaan.
Ditanya mengapa Shaariibuu tidak hadir, Abdul Rahman menjelaskan beliau (Shaariibuu) terkeliru dengan laporan media antarabangsa bahawa keputusan hari ini ditangguhkan ke tarikh lain, selain keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.
Timbalan Pendakwa Raya Tun Majid Tun Hamzah pula berkata kes itu belum berakhir kerana ia boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
"Melainkan keputusan hari ini dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan nanti, barulah boleh dikatakan kes ini telah selesai," katanya.