Biar pun kehadiran lebih 3,000 anggota polis di Manek Urai bagi menjaga keselamatan, namun pelbagai pihak pula merasakan keadaan sebaliknya.
Ramai meluahkan rasa tidak munasabah dengan jumlah penduduk di Manek Urai berbanding dengan bilangan anggota polis yang didatangkan khas ke Manek Urai sekarang.
Antara masalahnya kesesakan lalu lintas memandangkan jalan-jalan kampung di Dun Manek Urai sempit dan ditambah pula dengan kehadiran jentera kempen parti dari seluruh negara.
Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun mengakui kehadiran anggota polis menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan kampung di Manek Urai.
"Kehadiran ribuan anggota polis seolah-olah menggambarkan Manek Urai berada dalam tidak selamat. Gambaran itu memberi imej yang negetif kepada Manek Urai sedangkan keadaan sebenar suasana di Manek Urai tenang.
"Di sini tidak kedengaran ada mat-mat rempit. Tidak juga kedengaran ada pergaduhan. Penduduk di sini tidak mudah melantah biar pun ramai yang datang berkempen.
"Mereka menerima baik kedatangan setiap jentera kempen. Kerjasama penduduk amat dihargai. Jadi tidak munasabah dengan kehadiran begitu ramai anggota polis ke Manek Urai," katanya pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini.
Sidang media hari ini semakin sendat dengan kehadiran ramai wartawan termasuk portal berita dari Kuala Lumpur.
Abdul Fatah yang juga Adun Bukit Tuku ketika menjawab soalan yang sering dibangkit wartawan mengenai calon PAS yang tidak berpendidikan tinggi, katanya, perkara itu tidak menjadi isu kerana PAS mempunyai latar belakang calon yang pelbagai.
Katanya ada calon PAs yang mempunyai pendidikan sehingga PhD, sarjana dan sarjana muda. Selain itu ada juga yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.
"Isu tersebut tidak menjadi masalah di Manek Urai kerana penduduk di sini hanya memerlukan pemimpin yang mampu mendekati mereka setiap masa. Apa guna mempunyai pendidikan tinggi tetapi pengundi hendak menemui agak sukar," katanya.
Kehadiran begitu anggota ramai polis turut menarik perhatian badan pemantau pilihan raya, Mafrel.
Sementara itu, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah berkata, sehingga hari ini sudah lebih 50 peratus pengundi di Dun Manek Urai sudah ditemui dalam kempen pilihan raya sekarang.
Ditanya janjinya kepada pengundi katanya, beliau akan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat menyambung apa yang telah dilakukan arwah Paksu Wil sebelum ini.
Mengenai penerimaan pengundi muda katanya, sambutan mereka luar biasa sekali berdasarkan kepada siri-siri kempen sebelum ini.
Baru-baru ini lebih 300 pemuda yang layak mengundi menyertai konvoi bermotosikal mengelilingi beberapa kampung di Dun Manek Urai.
Pada Jun lalu lebih 500 pemuda tempatan hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS di Lata Rek.