Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Jul 10, 2009

100 hari:Bila mana Mahathir mula menyerang Najib

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari esok.

Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Masa depan orang Melayu

Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.

Mstar melaporkan..

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik kerajaan tetapi ini tidak bermakna beliau tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kritikan yang dilemparkan adalah berdasarkan kepada pandangan peribadi dan beliau berhak untuk mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu.

"Setakat ini banyak perkara yang saya tidak bersetuju. Itu pendapat peribadi saya, saya berhak untuk mempunyai pandangan saya sendiri, tetapi ini tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan," katanya ketika ditanya mengenai pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari pentadbirannya.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia, di sini, hari ini bagaimanapun berkata, beliau masih belum boleh memberi nilai kepada pentadbiran Najib.

"Saya belum melakukan kajian lagi... bukan satu kajian saintifik," katanya.

Diminta mengulas perkara positif yang dilaksanakan Najib, Dr. Mahathir berkata, antara perkara yang boleh dipuji ialah pendekatan Perdana Menteri keenam itu turun ke akar umbi melakukan tinjauan mesra dan bertemu lebih ramai masyarakat di peringkat bawahan.

"Ada juga (positif), dia (Najib) jumpa orang lebih ramai, tidak tidur, ini semua positif," katanya.

Mengenai perkara negatif, Dr. Mahathir berkata, antaranya mengenai cadangan jambatan ketiga ke Singapura dan kegagalan kerajaan untuk menangani isu rasuah dalam kerajaan apabila masih ada beberapa individu yang didapati bersalah melakukan rasuah masih memegang jawatan dalam Kabinet.

Menyentuh isu lain, Dr. Mahathir berkata. dakwaan sesetengah pihak bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan menghalang kepada perkembangan ekonomi rakyat negara ini adalah tidak tepat.

Dr. Mahathir, yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, dasar yang diperkenalkan sejak 38 tahun lepas bukan penyebab kelembapan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya faktor keterbukaan beberapa negara lain terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan kelembapan ekonomi dunia mempengaruhi perkembangan ekonomi tempatan.

Mengenai satu isu berbeza, Dr. Mahathir mengakui kontroversi rumah agam milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo boleh menjejaskan moral Umno dan Barisan Nasional.

Sehubungan itu beliau menggesa Dr. Mohamad Khir supaya menjelaskan punca pembiayaan rumah beliau yang dikatakan bernilai RM24 juta itu.

"Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak boleh lah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya," katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri keempat itu yang menyambut ulang tahun ke-84 kelahiran beliau hari ini sempat berkongsi harapan:

"Hajat saya ialah melihat Malaysia di mana rakyatnya berfikir bahawa mereka adalah warga Malaysia dan tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat lain."

Sementara itu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas menjelang genap 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melahirkan rasa syukur kerana kepimpinan Najib semakin diterima oleh rakyat.

"Alhamdulillah kerana sokongan yang diberikan kepadanya semakin bertambah daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah kepada 65 peratus (berdasarkan kepada kaji selidik Merdeka Centre iaitu sebuah pusat penyelidikan tempatan).

"Ini bermakna beliau berjaya memimpin negara dengan dasar-dasar yang diumumkan olehnya dari semasa ke semasa.

"Selepas ini dasar-dasar tersebut akan mendapat perhatian rakyat daripada segi pelaksanaannya. Saya harap ia akan dapat dipertahankan," katanya.
Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...