Jabatan Imigresen Malaysia telah menarik balik arahan yang melarang ibu Manohara Odelia Pinot, isteri kerabat Kelantan, daripada memasuki negara ini.
Dengan itu, Daisy Fajarina kini boleh masuk ke Malaysia untuk menemui anaknya di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam berkata larangan terhadap Daisy Fajarina, ditarik balik berkuatkuasa Isnin lalu.
"Larangan itu telah ditarik balik. Kita telah maklumkan kepada pihak kedutaan.
"Dan kedutaan kita akan memaklumkan kepada pihak sana (Indonesia)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
manohara odelai pinot mother daisy fajarina 230409Sebelum ini, dalam satu sidang akhbar di Jakarta pada Isnin lalu, Daisy mendakwa beliau ditegah masuk ke negara ini pada 19 Mac lalu.
Daisy dilaporkan mendakwa, dimaklumkan oleh pegawai imigresen larangan itu dibuat atas permintaan istana Kelantan.
Menurut Mahmood lagi, penarikan balik larangan itu dibuat atas arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Kami (di) imigresen cuma menerima arahan sahaja. Jadi, Jabatan Imigresen (hanya) pelaksana.
"Yang buat arahannya (tarik balik) adalah dari Kementerian (Dalam Negeri)," katanya ketika ditanya alasan larangan itu ditarik balik.
Mahmood tidak mengulas lanjut apabila diminta mengenai punca larangan tersebut, kerana katanya, beliau sedang bermesyuarat.