Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Feb 17, 2010

Kes Anwar: Amerika pulak mintak kerajaan M'sia adil

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berhadapan dengan kes liwat kali kedua sejak 1998.

Pendirian itu merupakan gesaan kedua selepas satu petisyen dikemukakan oleh lebih 50 ahli Parlimen Australia minggu lalu agar kes Anwar digugurkan.

“Saya meminta kerajaan Malaysia dan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memastikan satu prosiding perundangan adil dan saksama dalam perbicaraan yang sedang berlangsung terhadap bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim," kata Kerry dalam kenyataan dikeluarkan di Washington, semalam.

Kata Kerry, Anwar pernah menghadapi perbicaraan yang sama buat kali pertama lebih satu dekad lalu tetapi ia telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan kemudian.

Pertuduhan semasa mirip kes yang dibawa beberapa tahun lalu dan ia dikenakan sebaik sahaja Anwar memulakan balik peranannya sebagai Ahli Parlimen, kata senator itu.

"Saya menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak perolehi selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia," katanya.

Gesaan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat menghadiri Forum Amerika-Islam Ketujuh di Doha yang turut disertai Kerry.

Minggu lalu lebih 50 ahli Parlimen Australia termasuk anggota kerajaan memerintah dan wakil pembangkang menggesa kerajaan Malaysia agar menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim.

Tindakan itu mendapat bantahan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta parti-parti politik.

Beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan mahu mengemukakan memorandum bantahan kepada Kedutaan Australia di sini pagi ini.

Kumpulan 50 wakil rakyat itu menghantar satu surat menuntut agar tuduhan liwat kali kedua terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu digugurkan.

Pengerusi jawatankuasa kecil bagi hal ehwal luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.”

Malah menurut surat itu, “ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.”

Perbicaraan kes liwat Anwar itu bermula 3 Feb lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Esok Mahkamah Rayuan menetapkan bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuannya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Wisma Putra pula berkata fakta-fakta mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar akan dijelaskan kepada anggota Parlimen Australia.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebelum ini berkata inisiatif itu akan dilakukan menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

“Kerajaan sedia maklum bahawa perbicaraan Anwar akan menarik perhatian pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara, seperti perbicaraan lain yang melibatkan beliau sebelum ini.

“Oleh yang demikian, reaksi daripada sekumpulan anggota Parlimen Australia dalam perkara ini bukanlah satu perkara yang di luar dugaan.

“Kita berharap pihak-pihak yang berkenaan akan dapat menghayati, menghargai dan menghormati keluhuran undang-undang kita yang mengutamakan keadilan dan hak rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya minggu lalu.

M'sian Insider
Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...