Dewan Pemuda Pas Kelantan mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak agar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tindakannya yang berterusan menolak tuntutan wang royalti yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri.
Timbalan Ketua Pemu-danya, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kenyataan Najib di Parlimen yang menolak tuntutan itu jelas mempermainkan rakyat negeri ini selain menafikan perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas.
“Dewan Pemuda mengingatkan bahawa mengikut catatan persidangan Dewan Negara pada 9 April 1989, Senator Tuan Hassan telah bertanya dengan jelas berkenaan dengan usaha mencari gali minyak di Kelantan dan telah dijawab dengan jelas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu Datuk Kasitah Gaddam bahawa Kerajaan Negeri akan menerima royalti sebanyak 5 peratus,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Pas di kediaman Menteri Besar Kelantan semalam.
Sehubungan itu katanya, Najib harus meletakkan jawatan dengan segera kerana tindakan beliau jelas gagal dalam mematuhi perjanjian yang dimeterai di antara Kerajaan Negeri dengan Petronas pada tahun 1974.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perhimpunan yang mendesak Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan kelmarin, Baihaki berkata, pihaknya tidak menghalang ia diadakan sekiranya ia mendapat persetujuan pihak berkuasa.
Bagaimanapun katanya, perhimpunan itu tidak berjaya memandangkan hanya segelintir sahaja hadir selain tuntutan yang tidak munasabah dilakukan.
“Pemuda Pas tetap mem-pertahankan tuan guru sebagai Menteri Besar, kita yakin beliau masih berke-upayaan untuk memimpin negeri ini, alasan yang dibuat supaya Nik Aziz letak jawatan adalah kecil,” katanya.
_Sinar Harian.