Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Nov 12, 2009

Nota-nota dari seminar khas PAS / Notes on PAS's special seminar

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
[For the English version, go here].

Berikut antara ringkasan isu-isu yang dikemukakan di dalam seminar khas PAS yang diadakan pada 7 November. Setiap satunya diikuti oleh ulasan/komen saya.


A. Keputusan satu tinjauan ('survey') yang dilakukan di seluruh negara di kalangan lebih 2,000 responden diumumkan di seminar ini. Mengikut tinjauan ini, kedudukan ('ranking') pemimpin yang paling popular di dalam PAS ialah:

1. Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am)
2. Hj. Hadi Awang (Presiden)
3. Nizar Jamaluddin (Bekas Menteri Besar Perak)
4. Mohamad Sabu
5. Azizan Razak (Menteri Besar Kedah)

YB Nik Aziz Nik Mat mengekalkan 'kepercayaan politik dan persepsi positif mayarakat awam terhadapnya' manakala YB Hj. Hadi Awang gagal dalam ukuran ini.

Komen: Kedudukan nombor 3 Nizar Jamaluddin adalah satu keputusan yang menarik. Ini kerana memandangkan Nik Aziz Nik Mat sudah tua dan Hj. Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin yang kurang berkaliber, Nizar Jamaluddin merupakan pemimpin daripada lapisan baru yang paling sesuai untuk menjadi antara pemimpin-pemimpin yang utama di dalam parti PAS. Ini perkembangan yang baik kerana beliau berprinsip, berkebolehan dan mudah berkerjasama dengan efektif dengan pemimpin dari pelbagai kaum. Beliau juga mendapat sokongan kuat daripada segenap lapisan masyarakat tidak kira bangsa.


B. Menurut tinjauan, imej parti PAS didapati telah jatuh semenjak PRU-12.

1. Responden berumur 21-30 tahun: 633 hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan, manakala 67 saja yang percaya pada pimpinan ini. Responden berumur 31-40 tahun: 519 kata hilang kepercayaan, 181 kata ada kepercayaan. Bagi responden berumur 41-50 tahun: 751 kata hilang kepercayaan, 396 kata ada kepercayaan.

2. Apabila disoal mengenai kepimpinan Abdul Hadi Awang, di dalam responden berumur 21-30 tahun, sejumlah 493 tidak sokong kepimpinannya manakala 207 kata sokong. Bagi responden berumur 31-40 tahun, 539 tidak sokong dan 161 kata sokong. Di kalangan responden yang berumur 41-50 tahun: 383 tidak menyokong tapi 317 menyokong.

Komen: Warga muda tidak kira bangsa akan menjadi satu blok pengundi yang penting dalam pilihanraya umum yang akan datang dan kelihatan bahawa mereka mahukan rombakan dalam pucuk pimpinan PAS. Mereka tidak berapa menyokong pimpinan Hj. Hadi Awang.


C. Dr. Abdul Aziz Bari berkata: "Soal label pro-Umno, masuk Umno (yang dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan), ada atau tidak, tuan kena cari sendiri. Kalau tahu Umno cukup jijik pada PAS, yang pergi dekat, buat apa?" Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa perlu ada "korban" dengan menggugurkan beberapa pemimpin kanan dalam PAS - jika mampu, termasuk Abdul Hadi - bagi menyelesaikan konflik dalaman parti Islam itu. Tambahan, beliau berpendapat PAS tidak boleh menjadi parti alternatif kepada parti-parti di dalam BN jika PAS tidak boleh menerima Perlembagaan Persekutuan yang mengenali hak bukan Muslim.

Dr. Abdul Aziz Bari yang dilihat rapat dengan pihak pembangkang dituduh oleh beberapa peserta seminar sebagai "ajen UMNO" dan mereka "menuntut Dr. Abdul Aziz Bari memohon maaf kerana didakwa merendah-rendahkan seorang Ulama Islam", iaitu Hj. Hadi Awang. Tetapi Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad menegaskan bahawa para ulama tidak bebas dari kritikan dan mengingatkan para hadirin bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pun pernah dikritik dan menerima dan terbuka kepada kritikan.

Komen: Sekiranya parti PAS ingin benar-benar menjadi sebuah parti yang boleh dipercayai, mampu mereformasi dan mampu mentadbir Malaysia di tahap nasional, maka PAS harus memastikan para pemimpinnya tidak angkuh tetapi merendah diri dan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh untuk rakyat. Mereka harus bersedia menerima kritikan, membetulkan diri atau mengundur diri sekiranya tidak dapat bertugas dengan efektif. PAS juga harus menyelaraskan matlamat parti dengan Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelasnya berbentuk sekular. Perkara ini diakui dan diiktiraf oleh pemimpin Melayu veteran Tengku Razaleigh dan sebab-sebab mengapa Perlembagaan kita ini ialah sekular dihuraikan oleh Art Harun dari perspektif perundangan.


D. Presiden PAS Hj. Hadi Awang menyatakan dalam ucapannya bahawa PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat kerana PAS telah "memperoleh banyak kelebihan menerusi gandingan PR [Pakatan Rakyat] berbanding hanya berjuang bersendirian sebelum ini". Beliau mengulas bahawa "hubungan parti-parti dalam Pakatan bertitik tolak daripada asas persamaan untuk memerangi ketidakadilan, penyelewengan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang berlaku di negara ini."

Komen: PAS harus bersama dengan Pakatan Rakyat bukan semata-mata kerana memperolehi kelebihan tapi lebih dari itu atas prinsip menegakkan keadilan dan membetulkan salahlaku.


E. Soalan siapa yang lebih berkuasa di dalam PAS, Presiden atau Mursyidul Am, juga ditanya. Peranan mereka dilihat kurang jelas dan situasi di mana "kapal yang bernakhoda dua" dibimbangi oleh ahli PAS. Keterangan juga di minta mengenai pendirian PAS dalam membentuk sebuah "negara Islam".

Komen: Soal siapa yang lebih berkuasa dari siapa dalam aspek parti yang mana harus diperhalusi. Isu pembentukan "negara Islam" harus dijadikan isu perbincangan di dalam konvenyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan pada bulan Disember bersama dengan isu kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang sekular.



– PAS harus memperkukuhkan kerjasamanya dalam PR dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang;

– PAS harus lebih agresif dalam menjadikan kelab penyokong lebih aktif di kawasan-kawasan pengundi majoriti bukan Islam;

– Kepimpinan PAS harus memperkukuhkan pendiriannya berdasarkan penyelidikan dan memastikan ia mendampingi akar umbi;

– Perlu menetapkan KPI yang jelas bagi sayap Pemuda dan Wanita bagi menarik pengundi-pengundi muda; dan

– Mahu parti melancarkan kempen PAS Untuk Semua di peringkat nasional.

Komen: PAS juga harus meninjau kembali polisi parti berkaitan Islam dan kenegaraan sekiranya PAS benar-benar ingin menjadi satu pelantaran yang sesuai untuk mewakili dan memperjuangkan kebajikan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Akhir sekali, harus kita ingat bahawa resolusi seminar bukannya mengikat ("binding") seperti resolusi muktamar.

Sumber:PakSako
Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...