Pimpinan UMNO Barisan Nasional (BN) mengitar semula isu lama termasuk isu RM3 bilion bagi menjatuhkan kredibiliti Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kian mendapat sokongan dari segenap lapisan rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, isu pada 1999 itu telah pun dijawab Anwar ketika itu tapi dibangkitkan semula berikutan pilihan raya kecil Bagan Pinang.
Katanya, ia bertujuan menyerang Anwar selaku peneraju Pakatan Rakyat melalui media massa bagi menenggelam imej negatif calon BN, Tan Sri Isa Samad yang sinonim dengan politik wang.
"Umno-BN cuba mengalih perhatian rakyat dari tertumpu kepada kes rasuah Isa dengan menonjolkan Anwar, kononnya memiliki banyak wang, sedangkan ia isu lapuk dan telah dijawab Anwar," katanya kepada Suara Keadilan.
Malah, Shamsul berkata, KEADILAN ketika itu sudah meminta kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat dakwaan berkenaan tapi sehingga kini, tidak dilakukan.
"Kita juga menuntut supaya siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terbabit dalam komisyen pembelian kapal selam. Kita harap tiada 'double standard' berlaku," katanya.
Shamsul berkata, parti tidak bimbang dengan tindakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung dakwaan itu tapi meminta siasatan terhadap pimpinan UMNO BN juga dibuat.
-TVantara