Impian untuk mengubah sesuatu realiti politik yang buruk dalam masyarakat, misalnya diskriminasi kaum, tidak ada berlaku tanpa perjuangan, kata Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Mengulas usaha reformasi Umno kini dan lanskap politik negara sekarang, beliau menceritakan pengalaman peribadinya dilarang masuk ke sebuah restoran di New York pada 1962 atas dasar perkauman walaupun tempahan dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tambahnya, dengan insiden tersebut, mustahil baginya untuk membayangkan seorang presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, boleh dipilih daripada warganya yang berkulit hitam.
"Perubahan ini tidak mungkin terjadi tanpa perjuangan," katanya dalam ucapan kira-kira setengah jam bertemakan 'Memori, Bangsa dan Harapan' ketika melancarkan buku Multiethnic Malaysia: Past, Present and Future di Cheras pagi tadi.