Umno Pulau Pinang mencadangkan supaya parti itu menubuhkan Dewan Ulama Umno serta mempergiatkan usaha untuk mendekati golongan agamawan.
Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, langkah sedemikian perlu bagi memberi peranan yang khusus kepada golongan ulama Umno untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam.
"Kita perlu dekati golongan agamawan, kalau perlu, kita wujudkan Dewan Ulama Umno," katanya.
Jelas beliau, ulama Umno boleh memainkan peranan dalam soal keagamaan kerana agensi-agensi agama rasmi sedia ada mengambil sikap 'jalan selamat' dengan enggan mengulas mengenai beberapa isu yang ditimbulkan.
"(Mursyidul Am PAS, Datuk Abdul) Nik Aziz (Nik Mat) dah merapu, agensi agama rasmi pula ambil jalan selamat kerana tak mahu komen atau jawab beberapa isu, maka perlulah diwujudkan Dewan Ulama Umno," katanya.
Selain itu, Shabudin juga mencadangkan agar Umno memanfaatkan media alternatif untuk mendekati rakyat.
Jelasnya, saranan sedemikian bertepatan dengan perkembangan semasa kerana Umno kini dilemahkan dengan penyebaran maklumat-maklumat palsu oleh pembangkang melalui saluran berkenaan.
"Kebencian terhadap Umno ditanam oleh pembangkang. Umno sendiri dilemahkan oleh media alternatif melalui blog hinggakan golongan muda dan profesional cenderung serta simpati kepada pembangkang," katanya.
Menurutnya, Umno perlu mewujudkan media rasminya sendiri bagi memudahkan penyebaran maklumat tanpa bergantung kepada media arus perdana sedia ada.
"Kita perlu manfaatkan sepenuhnya media alternatif. Wujudkan televisyen Umno, akhbar Umno, risalah gerak saraf serta lahirkan lebih ramai blogger-blogger Umno.
"Kita jangan hanya bergantung kepada media arus perdana yang kita ada sahaja," katanya