Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata perhimpunan anti-ISA esok tidak membawa sebarang kebaikan kerana kerajaan telah mengambil pendirian untuk mengkaji semula akta tersebut.
"Saya telah umumkan perkara ini bila saya ambil tampuk kepimpinan (negara), bahawa ISA akan dikaji semula dan kita dalam proses ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi cadangan dan idea yang bernas mengenai bagaimana hendak memperbaiki undang-undang tersebut.
"Kita dalam proses membuat perbincangan untuk mendapatkan maklum balas rakyat. Buat apa kita buat demonstrasi.
"Demonstrasi tidak menghuraikan apa-apa untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Pindaan ISA ini tidak harus dipolitikkan.
"Kita gubal undang-undng mengikut kehendak zaman dan citarasa aspirasi rakyat Malaysia," tambahnya.