Mstar Melaporkan..
Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan bahawa parti itu akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Perkara itu diumumkan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebentar tadi.
Mkini..melaporkan..
Umno akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Mohd Hamdan Abdul Rahman pagi ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara petang ini.
"Ia sesuai dengan pendirian kita apabila kerusi kosong atas sebab keperluan perlembangaan, maka Umno dan BN akan bertanding," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, Umno dan BN akan memilih calonnya apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil tersebut.
Mohd Hamdan, 60, yang mewakili kawasan tersebut selama tiga penggal sejak 19999, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) awal pagi ini kerana sakit jantung.
SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihanraya kecil di Permatang Pasir - pilihanraya kecil yang kelapan selepas pilihanraya umum tahun lalu.
Permatang Pasir - kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang - adalah salah sebuah DUN dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya mengenai ciri-ciri calon BN, Najib berkata ianya masih terlalu awal dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pengerusi Umno Pulau Pinang dan timbalan presiden Umno, sebelum dirujuk kepadanya.
Pagi tadi, pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan berusaha untuk merebut kerusi tersebut.
Ini merupakan kali pertama Ahmad Zahid berdepan dengan pilihanraya di negeri itu, selepas dilantik menerajui Umno Pulau Pinang, lapor Bernama
Mengulas lanjut mengenainya, Ahmad Zahid menganggap "ini sebagai ujian Allah kepada saya dan untuk melihat sejauh mana kekuatan sebenar Umno."
Bercakap kepada pemberita di ibunegara, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan kononnya terdapat masalah dalaman jentera Umno di Permatang Pauh dan menyifatkannya sebagai "khabar angin."
Naib presiden Umno itu juga berkata beliau akan turun padang untuk memantau keadaan dan memastikan sebarang masalah yang timbul akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.
Beliau percaya masalah yang didakwa wujud itu sengaja ditimbulkan dengan didalangi pihak membangkang bertujuan untuk mengacau-bilaukan Umno bahagian berkenaan.
Sumber:Mkini.