Perhimpunan menyalakan lilin sebagai memperingati si mati bukan amalan keagamaan dan hanya dianggap sebahagian budaya masyarakat bukan Islam.
Berikutan itu, orang Islam yang turut hadir pada perhimpunan seumpama itu, hanya sekadar memberi sokongan moral dan tidak salah di sisi agama.
Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin ketika diminta mengulas pembabitan orang Islam dalam perhimpunan nyalaan lilin, berikutan kematian kontroversi Setiausaha Politik ahli Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, menegaskan selagi tindakan itu bukan amalan agama tertentu, ia dibolehkan.
“Lilin bukannya alat keagamaan. Majlis memperingati yang diadakan itu pun tiada unsur-unsur keagamaan. Oleh itu, tidak salah sekiranya rakan-rakan Islam turut hadir memberi sokongan atau penghormatan terakhir,” katanya.
Syeikh Marwazi berkata, penyokong Islam yang hadir kemungkinan sekadar memberi sokongan politik, malah perhimpunan itu juga adalah berlandaskan fahaman politik, dan bukannya keagamaan.
“Mereka yang hadir juga tidak membuat sesuatu yang merujuk kepada perbuatan keagamaan, jika sekadar berdiri bersama lilin, tidak mengapa,” katanya.
Menurutnya, dalam kes ini, isu agama tidak timbul kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Kehadiran orang Islam di situ hanyalah sebagai menyokong rakan-rakan mereka dalam politik sahaja, dan sekiranya boleh menimbulkan fitnah, eloklah sekiranya mengelak daripada hadir dalam perjumpaan seumpama itu,” katanya.
Malam kelmarin, satu perhimpunan memperingati kematian Beng Hock diadakan oleh pemimpin dan penyokong DAP di Simpang Kuala, di sini yang turut dihadiri pemimpin Kerajaan Negeri daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Updates..(kenyataan dari YB.Idham Lim)
Isu yang sedang dibicarakan ialah mengenai tindakan kami berada dalam majlis yang kononnya memperingati kematian Teoh Beng Hock dan memegang lilin dan dikaitkan dengan tindakan kami yang kononnya bercanggah dengan ajaran Islam.
Berkebetulan sebagai seorang Cina Islam saya rasa terpanggil untuk menjawab isu tersebutAkhbar Sinar Harian edisi pada hari ini pada perenggan pertama, kedua dan ketiga menyiarkan kenyataan seperti berikut :-
"Tindakan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin memegang lilin semasa menyertai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini, adalah luar budaya Islam
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, sebagai pemimpin beragama Islam, Nizar tidak sepatutunya memegang lilin pada acara keagamaan itu, perbuatannya akan mempengaruhi masyarakat Islam kerana beliau adalah seorang pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Kita bimbang soal haram atau halal diketepikan semata-mata mahu mengejar kepentingan politik parti tertentu didalam negara ini" Katanya kepada Sinar Harian semalam"
Berikutan dengan itu saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :-
1. Saya menafikan bahawa gambar dan majlis yang didakwa sebagai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Huat seperti didakwa pihak diatas. Gambar tersebut dan upucara menyalakan lilin adalah semasa sesi Sidang Media pada jam 11.00pagi 17 July , bertempat di wisma DAP Ipoh. Sidang Media tersebut dianjurkan oleh Skretariat Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh sekitar 20 ADUN PR dan pimpinan tertinggi parti.
2. Memegang lilin dan Colok bagi orang cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan. Kebetulan saya adalah bekas penganut agama Buddha selama 22 tahun sebelum memeluk Islam, saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China. Sebab itulah jika kita berkunjung dimana-mana mesjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual dimesjid.
Semasa sembahyang hari raya puasa atau haji, jangan terkejut bila kita menyaksikan kumpulan Imam dan Persatuan Islam serta AJK Mesjid berbaris masuk ke dalam mesjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir hari raya, dan sebelum melangkah masuh ke dewan sembahyang colok itu ditinggalkan diluar (saya ada koleksi gambar mengenai upucara ini).
3. Kami sama-sama memegang lilin sebagai menghormati acara selingan yang diadakan dalam sidang media itu dan bukannya bertafakkur seperti yang diminta. Sebelum ini sudah sekian banyak teman bukan muslim yang menghormati upucara membaca doa dan pelbagai majlis.
Sumber:Sinar Harian Edisi Utara.