Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Jul 6, 2009

Manek Urai:Satu lawan satu

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
Sah! Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan menyaksikan saingan satu penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili oleh Tuan Aziz Tuan Mat, 39, manakala PAS pula Mohd. Fauzi Abdullah, 50.

Tuan Aziz yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Fauzi pula ialah Bendahari PAS Kuala Krai dan seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai.

Status mereka sama ada layak tanding ataupun sebaliknya disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Manek Urai, Adnan Hussin kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Ini merupakan pilihan raya kecil yang ketujuh sejak Mac 2008.

Untuk melihat banyak lagi video sila layari video baru.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Julai sebagai hari pengundian.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos layak mengundi kali ini.

Daripada jumlah itu, 12,197 adalah pengundi Melayu merangkumi 99.2 peratus manakala pengundi Cina (56), India (28) dan lain-lain kaum 12 orang.

Penamaan calon telah berlangsung di Dewan Petra Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di sini.

Sembilan pusat pengundian akan dibuka dengan jumlah saluran mengundi 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.

LANCAR

Dalam pada itu, Bernama melaporkan proses pencalonan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kumpulan penyokong yang mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon, dengan berarak sejauh 2.4 kilometer dari pekarangan bangunan Pejabat Umno Bahagian Kuala Krai di sini sejak pukul 7.20 pagi.

Antara yang turut kelihatan bersama mengiringi calon BN ialah Pengarah Jentera BN Pilihan Raya DUN Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed, ketiga-tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Turut serta ialah para pemimpin parti komponen BN termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Iringan calon PAS diketuai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS.

Mereka berarak sejauh 2 kilometer dari Masjid al-Jauhar, Guchil dekat sini sejak pukul 7.30 pagi.

Turut sama ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden parti, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua.

Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini tidak muncul di pusat penamaan calon hari ini.

Semasa berarak ke pusat penamaan calon, para penyokong BN kelihatan begitu bersemangat dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik dan lagu parti manakala penyokong PAS juga tidak kurang bersemangat dengan melaungkan takbir.

Cuaca cerah menjadikan suasana di sekitar kawasan pusat pencalonan lebih meriah.

BANTAHAN

Adnan ketika mengumumkan nama-nama calon berkata, terdapat hanya satu bantahan dikemukakan oleh PAS terhadap Tuan Aziz semasa tempoh bantahan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi.

PAS, katanya, telah meminta Tuan Aziz mengemukakan bukti beliau telah meletak jawatan sebagai Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar dan selepas penjelasan dibuat, bantahan itu ditolak.

Tuan Aziz yang berbaju Melayu putih bersamping merah dan putih, dicadangkan pencalonannya oleh Che Hasan Che Ngah dan disokong oleh Mohd. Zamri Mohd Noor manakala Fauzi yang berpakaian baju Melayu berwarna jingga dicadangkan pencalonannya oleh Idrus Jalal, 69, dan disokong Abdul Halim Hamzah, 47.
----------------------------------------------------
Pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat dengan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, adalah yang pertama menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Kuala Krai menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1, sejurus selepas ia dibuka pada jam 9 pagi.

Tuan Aziz adalah lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.

Sejurus kemudian, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan, pula menyerahkan borang pencalonannya.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu.

Apabila proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi, hanya Tuan Aziz dan Mohd Fauzi yang menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Ini diikuti dengan tempoh selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihanraya kecil tersebut mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada 14 Julai ini.

Kempen akan bermula sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menganggarkan penyokong PAS yang hadir seramai 7,000 dan 4,000 penyokong BN.

Sehingga jam 10.35 pagi tadi, katanya, polis belum menerima apa-apa laporan mengenai sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga ini.

Beliau berharap penyokong kedua belah akan mematuhi undang-undang.

Abdul Rahim berkata 3,000 anggota polis ditugaskan di Manek Urai sepanjang kempen pilihanraya kecil berkenaan.



Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...