Kemenangan tipis PAS kali ini dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.
"Kami mahu pemimpin Pakatan sedar, kami orang bawah ini tidak mahu melihat pemimpin bergaduh dalam media dan memberikan persepsi negatif kepada umum," kata seorang ahli PAS dari Kemaman.
Sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira parti mereka sedang bertanding dalam pilihan raya kecil Manek Urai, para pemimpin Pakatan saling serang menyerang antara mereka di depan umum.
DAP Kedah membuat kenyataan menarik diri dari kerajaan Pakatan di negeri itu manakala di Selangor Pemimpin PKR, Azmin Ali mempertikaikan Exco kerajaan negeri Selangor.
Anggota Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mendakwa seorang Exco Selangor berurusan dengan kumpulan kongsi gelap di pejabatnya.
Ekoran itu, cabar mencabar dan ugut mengugut berlaku.
Bagi menanganinya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga tatatertib pemimpin mereka.
Retreat pimpinan PAS Sabtu dan Ahad ini di Alor Setar dijangka akan menjadi perbincangan panas dengan apa yang berlaku ini sebelum kata sepakat tercapai di kalangan mereka.
Sumber:Siasah.