Ulama Pas tidak perlu menyerang mana-mana pihak berhubung tindakan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang dilaporkan menyertai upacara memegang lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah bangunan di Shah Alam baru-baru ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir berkata beliau cuma mahu mendapatkan penjelasan dari ulama Pas mengenai perbuatan Nizar itu.
"Saya hairan kenapa ulama Pas saperti (Mursyidul Am Pas) Nik Aziz Nik Mat menyerang saya kerana meminta penjelasan itu tetapi tidak menjelaskan hukumnya dari segi Islam mengenai perbuatan ahli Pas itu," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Baling di sini hari ini.
Nizar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, hari ini menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan yang menunjukkan beliau memegang lilin itu dirakam pada sidang akhbar dalam pejabat DAP di Ipoh, Perak.
Dewan Ulama Pas menyifatkan perbuatan Nizar itu sebagai meragukan.