Keputusan bancian maya di Utusan Online pada jam 9:00 malam ini menunjukkan undian yang menyokong dasar PPSMI dimansuhkan mengatasi sedikit undian yang ingin dasar tersebut dikekalkan terus.
Persaingan sengit melalui bancian Utusan Online (www.utusan.com.my) ini tidak seperti kedudukan tinjauan di blog Che Det, milk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 9 Julai lalu.
Daripada 4012 undian, 48.7 peratus undian (1,952 undi) menunjukkan sokongan ke atas sikap kerajaan yang mahu memansuhkan dasar itu.
Manakala undian yang mahukan PPSMI terus kekal berjumlah 1,924 undi. Jumlah ini adalah 48.0 peratus daripada jumlah undian keseluruhan sementara undian yang tidak kisah terhadap isu ini berjumlah 136 undian (3.4 peratus).
Sementara itu, keputusan undian blog berhubung pemansuhan PPSMI di blog Che Det (http://chedet.co.cc/chedetblog/) masih tidak menunjukkan peratus peningkatan dan penurunan sejak 9:00 malam ini berbanding semalam.
Keputusan semalam di blog tersebut menunjukkan 85 peratus undian tidak mahu dasar PPSMI dimansuhkan, manakala 15 peratus lagi mahu dasar itu dimansuhkan.
Jumlah undian di blog Che Det sehingga 9:00 malam ini mencapai 63,796 undi, di mana 9,261 undi (15 peratus) ingin dasar itu dimansuhkan dan 54,535 undi (85 peratus) lagi memihak supaya dasar tersebut dikekalkan.
Manakala jumlah undian keseluruhan di blog yang sama sehingga jam 10:00 semalam mencapai 47,312 undi.
Kelmarin, ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir berkata pertemuan itu hanyalah untuk sesi penerangan kepadanya berhubung isu PPSMI tetapi tidak dimaklumkan mengenai keputusan PPSMI.
Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau tidak berharap dirujuk setiap kali kerajaan mahu melaksanakan perubahan dasar, terutama yang dibuat ketika di bawah pentadbiran beliau.
Blog Che Det sekitar jam 9:00 malam ini meninggalkan jejak maklumbalas dari pelawat sebanyak 595 maklumbalas berbanding 271 jejak maklumbalas sekitar 10:00 malam semalam.