Kerajaan Iran larang majlis peringati pelajar maut dalam tunjuk perasaan
TEHERAN: Iran melarang sebarang anjuran majlis bagi memperingati seorang wanita muda yang maut dalam tunjuk perasaan di sini Sabtu lalu, termasuk tahlil di masjid, selepas kematiannya menjadi tumpuan utama bantahan terhadap rejim ulama.
Neda Agha Soltan, 27, yang juga dikenali sebagai Angel of Freedom selepas video yang menunjukkan wanita itu ditembak penembak bersembunyi kerajaan dipaparkan internet.
Gambaran grafik menunjukkan Neda berjalan dengan ayahnya di kalangan penunjuk perasaan, kemudian berjalan berasingan apabila dia ditembak serta cubaan menyelamatkan nyawanya.
Poster online menunjukkan wanita berkenaan berlumuran darah, termasuk salah satunya dibuat mengikut imej Barack Obama ketika berkempen dulu sebagai presiden Amerika Syarikat.
Gambar berkenaan dipaparkan menerusi YouTube, Twitter dan Facebook dan disaksikan oleh puluhan ribu orang. Mesej simpati dan kemarahan membanjiri internet berikutan paparan video berkenaan.
Video yang menunjukkan kematian Neda disebar dengan meluas di Iran walaupun ada halangan rasmi terhadap laman web termasuk Facebook yang turut menyebabkan isyarat televisyen satelit terjejas.
Neda Agha Soltani |
Ada rakyat Iran memuat turun gambar itu ke dalam telefon bimbit dan menggunakan teknologi Bluetooth untuk berkongsinya dengan orang lain.
Pelajar muzik itu kini menjadi ikon dalam pertempuran antara kerajaan Iran yang dipimpin ulama dan pergerakan "hijau" yang mendakwa Presiden Mahmoud Ahmadinejad menipu bagi dipilih semula dalam pilihan raya 12 Jun lalu.
Kerajaan Iran minggu lalu melarang media bebas daripada membuat liputan bantahan di jalan raya, dan berikutan itu orang ramai kini menjadi sumber maklumat terpenting mengenai kekacauan yang berlaku.
Mereka merakamkan kejadian itu dengan menggunakan kamera telefon bimbit dan memaparkannya dalam internet sejak Sabtu lalu.
Penunjuk perasaan di luar Iran menyediakan poster yang menunjukkan muka Neda yang berdarah. Sajak, kata-kata hikmah dan cemuhan terhadap kerajaan Iran dipaparkan dengan berlipat ganda dalam internet.
Paparan berbahasa Parsi dalam blog dan Twitter yang digunakan oleh penyokong pembangkang menyeru orang ramai supaya berkumpul di Dataran Haft-e-tir di Teheran bagi memperingati kematian Neda dan mereka yang lain yang mati syahid.
Kira-kira 200 orang berkumpul di tempat berkenaan, tetapi dileraikan polis yang menembak gas pemedih mata dan peluru hidup, sekali gus membendung tunjuk perasaan itu dan menghalang pihak lain daripada menganjurkan perhimpunan yang sama.