Home Video LiveTV PR Direktori Tutorial Feed RSS Hubungi Kami

Apr 3, 2009

Surat Pimpinan Pakatan Rakyat Kepada DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati
28 Mac 2009
1 Rabiul Akhir 1430

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan AgongAl-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik sekalian merafa’kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampun Tuanku,

MEMOHON PERKENAN UNTUK MENANGGUHKAN LANTIKAN PERDANA MENTERI BARU SEHINGGA NAMA BELIAU DIBERSIHKAN OLEH SURUHANJAYA BEBAS

Patik sekalian mewakili semua 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan penuh takzim ingin merafa’ sembah mengenai rancangan YAB Perdana Menteri untuk mengadap Seri Paduka Baginda pada 2 April ini bagi menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan beliau kepada YAB Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Presiden UMNO yang baru.

Ampun Tuanku,

Jawatan Perdana Menteri ini merupakan suatu jawatan tertinggi dalam negara yang menjadi maruah sesebuah negara. Jawatan yang sebegitu penting seharusnya diberikan kepada individu terpilih yang bersih dan tidak dipersoalkan integritinya.

Baru-baru ini terdapat banyak skandal yang mengaitkan nama YAB Timbalan Perdana Menteri seperti komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan negara Peranchis. Yang paling mengejutkan adalah peristiwa pembunuhan seorang wanita Mongolia yang dikatakan turut mengaitkan nama beliau. Perkara di atas telah tersebar ke seluruh dunia dan diulas di banyak akhbar dan majalah seluruh dunia.

Oleh kerana perkara di atas begitu banyak diperkatakan dan memandangkan jawatan Perdana Menteri begitu penting buat negara ini, adalah amat wajar sekiranya Seri Paduka Bagida menangguhkan lantikan Perdana Menteri yang baru ini sehingga segala dakwaan berkenaan disiasat oleh sebuah Suruhanjaya Bebas dan nama beliau dibersihkan demi menjaga maruah negara ini.

Ampun Tuanku,

Patik sekalian akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin

Ampun Tuanku,

Patik sekalian dengan segala hormat takzimnya;

Bagi pihak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang
merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)

YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

YB Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Democratic Action Party (DAP)

Subscribe RSS Feed Share on Facebook Add to Technorati

MaklumanArtikelInfo

Hantar sms percuma keseluruh negara dengan Cloudera,tak percaya cuba try kat sini.
[Baca lagi]
Ucapan Tok Guru - Himpunan Perpaduan Ummah PAS FOR ALL.[Part 1] | [Part 2] | [Part 3] | [Part 4]

SubscribeBerita Terbaru

 Connect with google


Loading...