PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik cadangannya yang diutarakan dua bulan lalu agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan perpaduan.
Dalam temu bual dengan Harakah edisi pertama minggu ini, Hadi berkata, beliau menggugurkan syor tersebut atas alasan Umno tidak berani menyahut saranan itu.
"Dia (Umno) tidak berani. Sebab itu Unity Government tidak jadi dan saya tarik balik cadangan saya.
"Saya yakin dan percaya pada satu hari nanti orang akan terima cadangan saya, orang akan fikir balik," kata beliau.
Hadi menambah, "apabila masa tenang balik, dia (Umno) fikir balik, apabila keadaan munasabah."
Katanya, kerajaan perpaduan bertujuan membuangkan orang yang bermasalah dalam negara.
"Ini bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga dalam pembangkang sendiri," katanya lagi.
Hadi memberitahu, syor kerajaan perpaduan yang dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat kerajaan perpaduan dan mungkin dia bimbang kerana akan ada orang dia dibicarakan di mahkamah, maka ia terhenti," katanya lagi.
Pandangan Hadi agar diwujudkan kerajaan perpaduan juga pernah ditentang oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Syor kerajaan perpaduan yang dicetuskan Hadi ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu pendekatan 'politik damai' bagi mengelak kemelut politik berpanjangan yang merugikan negara dan menjejaskan keamanan.
Nik Abdul Aziz menolak cadangan itu yang disifatkannya membelakangkan kehendak akar umbi yang diputuskan dalam Muktamar Tahunan Pas pada Jun tahun lalu di Ipoh dengan pendirian menolak kerjasama dengan Umno.
Malah Nik Abdul Aziz menegaskan, cadangan seumpama itu sewajarnya dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat agung khas dan beliau akan akur sekiranya diputuskan bersama.